Friday, June 6, 2008

Minyak Oh Minyak

Kenaikan harga minyak baru-baru ini merupakan kenaikan terlampau yang cukup extream untuk menyusahkan rakyat. Agak memeranjatkan dan pelik tapi benar apabila kenaikan harga itu dihebahkan hanya beberapa jam sebelum ia di laksanakan secara menyeluruh di seluruh negara.

Tiada belas ihsan dan kasihan kepada rakyat Malaysia untuk membuat perancangan - bagaimana, dimana dan bila - untuk mengisi minyak kenderaan secara aman dan sejahtera. Oleh yang demikian, dapat kita saksikan dengan mata dan pemikiran kita yang sihat ini akan bagaimana rakyat jelata disusahkan untuk bertungkus lumus dengan paniknya mencari dan berbaris di stesen-stesen minyak.

Setiap ceruk stesen minyak cukup meriah dengan riuh rendah dengan bunyi-bunyian kenderaan dan cukup ceria dengan sinaran lampu-lampu kenderaan. Stesen minyak yang dulunya tidak popular @ jarang disinggahi, tiba-tiba telah menjadi cukup terkenal dan glamor untuk 1 malam.

Hanya kerana "setitik minyak harga lama" maka rakyat terpaksa berbaris panjang dengan perasaan marah dan panik sehingga mengabaikan waktu solah Maghrib dan Isya'.

Adakah ini semua merupakan dugaan untuk kita atau ia merupakan bala yang kita cari?

Kemana perginya minyak? Kontang atau ada pihak yang mencari keutungan berlipat ganda sehingga mengabaikan kebajikan rakyat? Jangan disalahkan kenaikan harga minyak dunia kerana negara kita mempunyai telaga minyak sendiri. Tidak bolehkah kita berdikari untuk menyenangkan rakyat sendiri?

Yang pasti rungutan rakyat kini telah berleluasa, biarpun bermula dengan bisikan-bisikan, tapi esok lusa ia akan menjadi teriakan dan jeritan. Rakyat tahu dan berpengalaman bahawasanya kenaikan harga minyak ini pasti akan menyebabkan kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan. Walhal gaji masih kekal berada di tahap lama, susah nak naik dengan cepat selaras dengan kenaikan harga minyak dan harga barang.

Akhirnya yang susah dan disusahkan adalah rakyat akibat peningkatan kos sara hidup disebabkan ketidak prihatinan kepimpinan negara.

Wajarkah rakyat yang bermaruah dan merdeka diperlaku sebegini rupa? Yang pasti rakyat tidak bodoh, pasti akan bangkit membetulkan keadaan. Hanya masa yang menjadi penentu untuk keadaan berubah dengan penuh bermaruah.


No comments: