Sunday, April 20, 2008

JAMIN CUKUP MAKAN?

Nampaknya PM kita dah peruntukkan RM 4 bilion untuk pelaksanaan Dasar Jaminan Makanan Negara sepertimana yang disiarkan oleh media masa tempatan. Maka dengan peruntukan itu beberapa kawasan pertanian baru akan dibuka untuk memastikan bekalan makanan yang secukupnya untuk rakyat. Katanya ini perlu bagi menghadapi inflasi makanan global.

Walaupun rakyat tidak berapa faham akan maksud inflasi global, tapi sudah sekian lama rakyat tersepit dengan kenaikan harga barang-barang keperluan termasuklah makanan dan minuman. Lihat sahaja harga makanan dan minuman di kota raya, kalau tak cukup duit bak kata orang teguk air paip aje lah. Dulu mak bapak dan datuk nenek kita ada bercerita akan pengalaman muda remaja mereka dimana harga kuih muih yang dijual hanya antara 1-3 sen sebiji. Namun kini untuk dapatkan harga kiuh macam itu adalah sesuatu yang mustahil, mungkin sekadar fantasi dan mimpi.

Walaupun kenyatan PM itu amat dialu-alukan, tapi apa yang hendak dibuat dengan RM 4 bilion tu? Adakah sekadar tanam padi berhektar-hektar diseluruh negara? Tanam buah-buahan dan sayur-sayuran secara mega? Adakah keperluan makanan kita sekadar itu sahaja? Macam ada yang kurang.... Bukankah kita makan macam-macam? Belum ditambah lagi dengan makanan sampingan.

Kemudian timbul pula persoalan lain, siapa pula yang akan mengusahakan projek-projek tersebut? Adakah rakyat tempatan atau pelabur asing atau pihak kementerian atau kerajaan negeri? Jika projek itu dimonopoli oleh golongan kapitalis maka hasilnya tetap sama iaitu rakyat akan terus merana "kelaparan".

Golongan kapitalis lebih mengutamakan keuntungan berbanding dari menjaga kebajikan. Akhirnya golongan ini yang akan menentukan turun naik harga jualan/pasaran barang-barang makanan keperluan rakyat. Apa guna bekalan makanan banyak tapi rakyat tidak mampu membelinya kerana harga jualan/pasaran yang tinggi.

Maka perancangan secara terperinci perlu dibuat dan dimaklumkan kepada rakyat sebelum ia dilaksanakan. Jangan sudah dilaksanakan baru minta pendapat rakyat. Nanti bila sudah tersilap langkah baru terhegeh-hegeh minta rakyat bekorban.

Rakyat berharap agar projek yang dirancang akan dilaksanakan secara adil, bersih, telus dan demokratik. RM 4 bilion bukan jumlah yang kecil. Kita tidak mahu nanti wang rakyat itu dibazirkan dengan aktiviti-aktiviti dan benda-benda yang tidak berfaedah. Kita juga tidak mahu wang rakyat itu nanti diagih-agihkan di kalangan "mereka-mereka itu" dan akhirnya rakyat pula yang menanggung rugi.


No comments: